Sunday 21 October 2012

Idea Jimatkan Wang


Fokus untuk belanja BARANG PERLU dahulu, kemudian baru BARANG MAHU 

Barang perlu yang dimaksudkan di sini ialah barang-barang keperluan asas seperti gula, minyak, elektrik dan air. Manakala barang mahu pula seperti gadget baru, barangan kosmetik, permainan video dan lain-lain. Bagi menjimatkan wang, kita dinasihatkan untuk menumpukan perbelanjaan terhadap barang perlu dulu berbanding barang mahu. Ini kerana jika kita tumpukan kepada barang mahu, kita terpaksa keluarkan lebih banyak wang kerana macam manapun kita terpaksa juga untuk membeli barang perlu kerana tanpanya kita  akan susah untuk meneruskan kehidupan. 

Amalkan guna wang kertas berbanding syiling 

Ini tips yang mudah untuk jimatkan wang. Ianya dengan cara kita tabungkan terus wang syiling yang ada. Apabila berbelanja, gunakan wang kertas walau harga barang tersebut dalam sen sekalipun. Sebaik sahaja dapat bakinya yang berbentuk syiling, simpan wang syiling tersebut dalam tabung yang memerlukan untuk kita pecahkan untuk membukanya. Kenapa perlu kita berbuat sedemikian? Hal ini kerana orang yang paling banyak menyimpan sebenarnya beliaulah orang yang paling kaya pada masa akan datang. 

Jika memandu ke tempat kerja, cuba berpakat dengan kawan untuk bergilir kenderaan 

Cara ini sangat efektif untuk jimatkan kos minyak. Jika kita kebetulan akan melalui jalan yang sama ke tempat kerja dengan kawan sekerja, cubalah rancang perjalanan dengan bergilir-gilir kenderaan dengannya. Contohnya jika hari ini guna kereta kawan kita, mungkin esok boleh guna kereta kita pula. Ini akan menjimatkan sekali ganda perbelanjaan bulanan kita yang dikhaskan untuk membeli minyak kenderaan. 


 Nik Kamal ialah seorang trainer pembangunan sumber manusia khususnya untuk pelajar sekolah dan IPT. Beliau berkhidmat dalam konsultannya iaitu Itqan Partners Training & Consultancy. Juga merupakan kolumnis majalah Gen-Q yang aktif di blognya www.quranicgroup.blogspot.com

Thursday 18 October 2012

Idea Bisnes Untuk Pelajar Universiti




Jual bunga atau hadiah semasa pesta konvokesyen

Jadikan hari bermakna dalam diari hidup seorang pelajar universiti sebagai peluang untuk diri anda diingati juga. Cari idea paling kreatif untuk menjual atau membalut bunga semasa pesta konvokesyen berlangsung. Manalah tahu, anda juga sebahagian daripada diari bermakna mereka.

Servis komputer

Apakata anda memanfaatkan kemahiran komputer yang ada pada diri anda untuk tujuan bisnes sampingan di universiti? Anda boleh membaiki perkara-perkara asas tentang komputer yang anda ketahui seperti memformat. Jika anda berkepakaran, anda boleh mengambil upah memasang komputer.

Khidmat menaip dokumen

Di universiti, para pelajar tidak lekang dengan tugasan atau ‘assignment’, bukan? Nah, ambil peluang ini untuk menjadi jurutaip kepada pelajar yang mahukan khidmat menaip. Mungkin mereka sibuk dengan persatuan atau terlalu banyak tugasan yang sudah tiba ‘dateline’nya. Pada ketika itu, andalah orang yang dicari-cari.

Burger segera

Anda boleh menjual burger dari bilik ke bilik atau meletakkannya di kiosk yang berhampiran dengan kolej anda. Jika burger anda lazat, pasti tidak sampai satu atau dua jam, burger anda habis dijual.

Jersey bolasepak

Kebanyakkan pelajar lelaki suka memakai jersey bola walaupun dia sendiri tidak suka menonton rancangan bolasepak. Faktor mengapa mereka suka pada jersey ialah kainnya yang licin, lembut dan mudah kering. Jadikan lelaki yang minat pada sukan bolasepak sebagai sasaran utama anda. Paling tidak anda boleh menjual tiga jenis jersey kepadanya, jersey kelab Eropah, jersey negara di dunia dan jersey negeri tempat kelahiran.

Tudung

Kaum Hawa gemarkan berhias. Salah satu pakaian menjadi tumpuan mereka ialah tudung. Sekarang macam-macam jenis rekaan dan jenama tudung dijual di pasaran. Apakata, anda menjual tudung-tudung tersebut di universiti? Anda boleh menjual dari bilik ke bilik atau menampal iklan-iklan di tempat strategik di universiti.

Agen buku

Alam universiti begitu sinonim dengan buku-buku. Anda boleh menjadi penjual buku dengan menjualnya dengan harga yang istimewa sekiranya anda menjadi agen kepada syarikat buku. Biasanya syarikat buku boleh memberikan harga yang murah jika anda bersungguh-sungguh untuk menjadi agen kepadanya.

Jual kertas

Anda juga boleh berbisnes dengan menjual kertas A4. Beli dalam kuantiti yang besar, kemudiannya dipeket secara kecil-kecil. Buat beberapa pilihan kertas, kertas A4 kosong, bergaris mahupun berwarna. Pasti anda menjadi menjadi tumpuan apabila kertas-kertas mereka kehabisan nanti.

Sewa booth untuk berbisnes

Anda boleh memilih untuk menyewa tapak atau booth untuk berbisnes perkara yang anda minati. Di universiti banyak karnival, pesta konvokesyen, ekspo yang mana anda boleh jadikannya sebagai medan untuk berbisnes. Sebagai contoh, kos sewa booth untuk 5 hari ialah RM500 dan jumlah pendapatan kasar bisnes anda sepanjang hari tersebut mencecah RM2000. Bukankah untung kasar anda RM1500?

Koleksi soalan peperiksaan akhir

Apakata anda rajin-rajinkan diri untuk mencari soalan-soalan peperiksaan lepas dan kumpulkan. Jadikan satu set yang kemas dan siap dibukukan. Kemudian jual dengan harga berpatutan. Pasti ada pelajar yang menghargai usaha murni anda ini.




Wednesday 17 October 2012

Idea Bisnes Dengan Bakat Fotografi


Ramai orang mempunyai bakat dan ramai orang yang hidup dengan bakat mereka. Antara bakat yang boleh memberi pulangan yang berlipat kali ganda pendapatannya adalah bidang Fotografi. Dibawah diletakkan beberapa idea berbisnes dengan bakat fotografi. Jom meneroka bakat anda.


Jurugambar Bebas Kembara

Jika anda suka mengembara ke destinasi yang mempunyai pemandangan yang menarik, anda boleh menangkap gambar yang menarik. Jualkan ke majalah-majalah kembara atau surat khabar yang ingin mendapatkan gambar anda. Kalau tidak, jual di internet.

Jurugambar Kanak-Kanak

Kanak-kanak atau bayi mempunyai wajah yang comel dan laku keras dipasaran jika difotokan. Tangkap gambar bayi atau posing paling comel kanak-kanak dan jualkannya diinternet. Boleh juga dibuat kalendar.


Jurugambar Bebas Majalah

Majalah kebiasaannya mempunyai kekurangan jurugambar untuk merakam banyak aktiviti atau laporan. Tawarkan diri untuk menjadi jurugambar bebas untuk majalah.


Jurugambar Potret Keluarga di Lokasi Menarik

Buka studio bergerak di tempat-tempat menarik. Tawarkan untuk menangkap pasangan atau keluarga yang bertandang ke lokasi-lokasi tersebut. Lumayan!!!


Jurugambar Makanan

Makanan yang sedap jika hiasan yang cantik tidak akan menarik minat pelanggan atau pengunjung ke restoren. Tangkap gambar makanan dan jual kepada penerbit majalah makanan. Anda boleh juga membuat Ebook dengan gambar makanan tersebut. Nak tahu komen artikel ini.

Jurugambar Haiwan Peliharaan

Minat haiwan peliharaan? Tangkap gambar kucing, anjing, arnab, burung-burung dan lain-lain haiwan peliharaan. Gambar tersebut diperlukan untuk hiasan dinding di rumah dan majalah haiwan peliharaan.

Mengajar Fotografi

Ajar orang lain tentang Fotografi. Bagaimana menangkap gambar yang cantik dan sebagainya berkaitan Fotografi. Orang yang serius akan sanggup membayar lebih RM1000 untuk mendapat ilmu fotografi.

Monday 15 October 2012

1 2 3 Idea Menangani Stress




Baca Al-Quran

Ketenangan dapat dirasai semasa membaca Al-Quran, walau tanpa memahami maksudnya. Rasa tenang akan bertambah-tambah jika kita faham erti ayatnya. Waktu sepertiga malam ialah waktu terbaik untuk merasai kesannya.   

Berzikir

Paling mudah dilakukan. Ketika serabut, terus berzikir dengan menyebut nama Allah. Zikir di dalam hati pun boleh.

Ambil wudhu’

Ini kaedah yang sangat efektif ketika kita sedang dalam kemarahan. Ia umpama pemadam ‘api’ dalam tubuh. Kita akan rasa lebih stabil dan kembali fokus.

 Baca buku motivasi

Dapatkan buku yang mengandungi cerita-cerita orang yang berpengalaman di dalam menempuhi ujian. Ianya akan mematangkan kita. Selain itu ia mampu meredakan stress yang dihadapi.

      Dengar muzik/lagu yang menenangkan

Pilih muzik/lagu yang sentimental dan mendamaikan. Ia boleh digunakan untuk melegakan perasaan yang berkecamuk.  

      Lihat pemandangan alam semulajadi

Kunjungi tempat rekreasi seperti di pantai dan air terjun. Nikmatilah pemandangan hijau nan indah di sana. Lagi seronok jika ditambah dengan bermandi-manda.
     
      Hadiri majlis ilmu

Duduk bersama alim ulama’ dan orang yang soleh. Dapatkan nasihat dan kata-kata hikmah dari mereka. Ianya boleh melembutkan hati kita yang mungkin tengah keras kerana stress.

Berdoa

Mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada tuhan kita. Kita terus mohon bantuan kepada Dia selaku pencipta masalah tersebut. Dan memangnya setiap masalah ada hikmah dan penyelesaiannya.

 Pergi melancong
Pergi makan angin dan bercuti di destinasi pilihan kita. Bawalah pasangan atau keluarga kita jika perlu. Bergembirlah dengan mereka semua.

Lihat wajah ibu bapa

Ibu bapa ialah inspirasi anak-anak. Melihat wajah mereka akan memberi kesan kepada jiwa. Apatah lagi jika ibu bapa yang sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak mereka.

Lihat wajah ulama’

Putih bersih wajah ulama’ akan mendamaikan hati sesiapa yang melihatnya. Ini kerana ulama’ ialah orang yang dekat dengan Allah. Juga digelar pewaris nabi.

Bermain dengan kanak-kanak

Hati boleh terhibur jika melihat telatah kanak-kanak yang comel. Apa lagi jika dapat bergurau senda dengan mereka. Tidak perlu malu dikata orang anda kebudak-budakan, asal sahaja stress anda hilang.

Dapatkan sahabat yang sudi menjadi pendengar

Masalah akan semakin parah bila dipendam. Carilah orang yang sudi menjadi pendengar masalah kita. Walau dia tidak dapat tolong selesaikan pun, sekurang-kurangnya tekanan dalam diri kita telah berkurangan apabila masalah dapat diluahkan.

Ke masjid

Masjid ialah rumah Allah. Memasukinya sahaja telah mengundang rahmat dan doa para malaikat. Apalagi bila kita dapat berinteraksi dengan orang-orang yang baik di sana.

Solat

Ia amalan para ulama’. Biasanya mereka akan melakukannya ketika sedang berdepan tekanan hidup atau sebarang masalah. Jangan lupa bahawa solat juga ialah satu bentuk doa kita kepada Pencipta.

Rehat/tidur

Jika kita rasa stress kerana kepenatan yang amat sewaktu bekerja, dicadangkan kita ambil masa sekejap untuk keluar rehat. Tidak salah jika kita tidur sebentar. Ia boleh mengembalikan tenaga kita selepas lesu bekerja.

Bermain dengan binatang peliharaan

Kucing, arnab atau haiwan yang jinak sangat baik untuk dijadikan terapi stress. Dengan bermain-main bersama haiwan-haiwan ini, kita boleh melupakan masalah yang membelenggu. 

Bersukan

Bersukan atau bersenam akan mengeluarkan peluh. Bila kita berpeluh, badan akan sihat. Bila badan sihat, kita akan lebih bertenaga untuk menghadapi sebarang cabaran dalam kehidupan.

Ingat ada orang yang lebih susah dari kita

Cara ini akan membuatkan kita rasa bersyukur terhadap apa yang ada. Lalu ia akan mengajak kita mula kembali fokus kepada penyelesaian masalah. Bukan semata-mata fikirkan masalah.

Menonton video kegemaran

Ini salah satu taktik untuk kita lupakan masalah. Ia akan meredakan sementara stress kita. Video yang berkaitan motivasi diri dan ada kaitan dengan ketuhanan adalah dicadangkan.

Cari punca masalah dan selesaikan

Bila stress terhadap sesuatu masalah, kita terus fokuskan puncanya di mana. Kemudian terus selesaikannya. Jangan berlama-lama memikirkan cabang-cabang masalah dan lupakan dari terus menyalahkan orang lain.

Dapatkan nasihat/kaunseling

Jika stress kita tahap kritikal, segeralah berjumpa dengan pakar yang tahu mengendalikannya. Contohnya kaunselor atau pakar kaunseling. Dapatkan tips dari mereka bagaimana mengurangkan stress.

Sertai/kendali program amal

Dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti amal seumpama ini, ia boleh menguatkan ketabahan dan kesabaran kita. Tambahan pula jika kita dapat melihat sendiri orang-orang yang susah. Kita juga dapat menguatkan keyakinan dan soft-skill dalam menguruskan kehidupan melalui menyertainya sebagai AJK dan sebagainya.

Membuat senaman pernafasan

Menarik nafas dalam-dalam sebanyak 3 kali boleh mengurangkan debaran. Ia juga boleh mengembalikan fokus kita seterusnya mencari idea bagi mengatasi masalah tersebut.

Senyum

Senyum itu tanda ketabahan. Ia permulaan yang baik ketika kita berhadapan tekanan. Menunjukkan kita seorang yang positif di dalam menanganinya.

Nik Kamal ialah seorang trainer pembangunan sumber manusia khususnya untuk pelajar sekolah dan IPT. Beliau berkhidmat dalam konsultannya iaitu Itqan Partners Training & Consultancy. Juga merupakan kolumnis majalah Gen-Q yang aktif di blognya www.quranicgroup.blogspot.com

Saturday 13 October 2012

Idea Bisnes Untuk Pelajar Universiti



Buat bisnes dengan Print Nama dan Nombor Pelajar atas Test Pad


Tahukah anda yang kita boleh membuat duit disebabkan kemalasan orang lain?

Idea ini telah diimplementasi oleh seorang pelajar universiti. Beliau mendapat ilham untuk print nama
dan nombor pelajar diatas Test Pad setelah di tolak markah oleh pensyarah beliau gara-gara terlupa
untuk menulis maklumat diri ketika menghantar tugasan on the spot.

Oleh kerana beliau malas untuk menulis nama atas setiap helaian Test Pad, beliau mengambil langkah
untuk print nama dan nombor pelajar (tarikh dibiarkan kosong) untuk menjimatkan masa. Tindakan
beliau mendapat perhatian rakan-rakan sekuliah yang kemudiannya mengupah beliau untuk melakukan
perkara yang sama untuk mereka.

Nota: Terima kasih kepada Zeffree Kan yang berkongsi idea di atas.

Zusuff Kan Zainal Kan merupakan seorang profesional dalam bidang kewangan Islam. Beliau adalah usahawan dalam bidang informasi atau infopreneur.

Zefree Kan Zainal Kan merupakan eksekutif muda yang bertugas di Microsoft Malaysia. 

Thursday 11 October 2012

Tim Pengurusan Projek


Pengurus Projek 
Pengurus projek adalah nadi utama untuk sesuatu projek. Beliaulah yang akan memastikan semua aktiviti dan perancangan yang telah dirancang berjalan lancar, mengikut jadual dan bajet yang telah ditetapkan.
Tiga tugas utama Pengurus Projek ialah untuk menguruskan skop projek, menguruskan pasukan beliau dan menguruskan sebarang masalah yang timbul.

Menguruskan skop bermaksud memastikan projek/program di bawah kendalian beliau akan dapat mencapai matlamat dan objektif yang telah dipersetujui bersama dengan Sponsor/Penasihat projek. Beliau juga perlu memastikan yang projek/program tersebut tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Kadangkala disebabkan seseorang penguruskan melampaui skop(matlamat/objektif) yang telah ditetapkan untuk sesuatu program maka bajet pun akan dilampaui juga (begitu juga dengan penambahan logistik). 

Oleh itu amatlah penting untuk seorang Pengurus Projek memastikan yang beliau menguruskan skop program dibawah kendalian beliau dengan baik. Sebarang penambahan matlamat atau objektif mestilah disusuli dengan analisa terhadap kos dan lain-lain yang berkaitan dan kemudian mendapatkan kelulusan Sponsor/Penasihat projek dan komiti beliau.

Menguruskan pasukan atau team bermaksud bahawa beliau mesti memastikan bahawa semua sumber yang ada (ahli tim, logistik) diuruskan dengan secara efektif. Beliau juga perlu memastikan ahli-ahli tim menggunakan sumber kewangan yang diberikan dengan berhemah dan tugas-tugas dilaksanakan dengan berkualiti dan dapat memenuhi objektif dan matlamat projek serta memenuhi kehendak Sponsor projek serta sasaran program tersebut. 

Caranya adalah dengan mengawas dan menyemak status projek dengan kerap tetapi tanpa membuat ahli-ahli tim merasa rimas. Gunakan Fokal poin untuk melaksanakan tugas ini.

Menguruskan masalah yang timbul adalah satu tugas yang tidak mudah. Walaubagaimanapun, ini adalah satu tugas yang mesti dipikul oleh seorang Pengurus Projek sebab tidak ada projek/program yang tidak ada masalah. Cara terbaik menghadapainya ialah dengan cuba menjangka masalah yang akan timbul lebih awal. Dengan ini anda akan mempunyai masa untuk menguruskan penyelesaian atau jalan keluar. 

Namun, selalunya kita tidak dapat menjangka lebih awal, oleh itu seorang pengurus projek mesti menghadapi masalah tersebut dan menyelesaikannya tanpa menjejaskan projek atau program walaupun terpaksa membuat sedikit pengubahsuaian.

Untuk memastikan ketiga-tiga tugas utama ini dapat diurus dengan sempurna, pengurus projek semestinya mempunyai perancangan yang dipersetujui bersama ahli tim, ahli tim yang dapat bekerjasama, komunikasi tim yang baik dan sistem kawal dan selia yang berkesan.

Setiausaha/Pencatit/Focal Point
Posisi adalah untuk memastikan semua dokumen, minit mesyuarat, koresponden adalah difailkan dengan baik. Juga untuk memastikan semua komunikasi, persetujuan, arahan, tindakan akan disampaikan pada semua ahli tim. Kadangkala untuk projek yang bersaiz amat kecil, tugas ini boleh diambil oleh salah seorang ahli tim yang mempunyai bidang tugas yang tidak membebankan.

Fokal Poin adalah satu posisi yang penting, yang mana jika tidak dijalankan dengan baik akan menyebabkan komunikasi tim boleh terjejas, yang seterusnya menyebabkan perlaksanaan projek itu tidak efisien. Ini juga boleh menyebabkan kelewatan dan penambahan kos yang tidak sepatutnya. 

Ahli-Ahli Tim (Berdasarkan Aktiviti/Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan)
Kebiasaannya untuk pengurusan projek yang kecil, ahli-ahli tim adalah dipilih mengikut aktiviti atau tugas-tugas yang perlu dilaksanakan. Sekiranya, semua ahli tim adalah “part-time”/sukarelawan maka lebih sesuai untuk setiap hanya memegang satu tugas saja. Tugasan yang ada adalah berdasarkan aktiviti-aktiviti yang perlu dilaksanakan. 

Untuk Pengurus Projek yang pertama kali mengurus satu-satu projek atau program, bolehlah dia berbincang dengan mereka yang telah pernah melaksanakan projek yang serupa, untuk mengetahui apakah aktiviti-aktiviti(tugas-tugas) yang ada dan perlu dilaksanakan. Selain itu beliau juga boleh menghadiri program yang serupa atau meneliti kembali minit-minit mesyuarat, dokumen program yang telah dijalankan sebelumnya.

Ahli-ahli tim mestilah jelas dengan tanggungjawab atau ruang lingkup tugas yang diamanahkan kepada mereka. Pastikan sebaik mungkin tiada pertindihan tugas, sekiranya ada, komunikasi adalah cara yang paling efisien dan terbaik untuk menyelesaikannya. Ahli-ahli tim juga perlu sentiasa mengemaskini perjalanan tugasan mereka kepada fokal poin atau, mesyuarat berkala tim mesti lebih kerap diadakan.

Perlu diingat di sini bahawa pemilihan ahli-ahli yang boleh bekerjasama, berupaya dan amanah adalah amat penting dalam memastikan perlaksanaan program/projek yang berjaya. Namun tidak selalu kita boleh mendapat ahli-ahli tim yang sempurna, sebab itu, sebagai pengurus projek anda mestilah bijak dalam mengagihkan tugas kepada ahli-ahli tim dan bersedia untuk membantu ahli tim yang lain yang memerlukan bantuan. Meletakkan tugasan yang sesuai kepada seseorang ahli tim menjadikan kerja menjadi lebih mudah dan kerja timan lebih efektif. 

Selain itu pengurus projek juga mesti menerapkan nilai kerja berpasukan kepada ahli tim anda. Tim projek yang mempunyai nilai kerja berpasukan yang baik selalunya kerja mereka lebih efisien, lebih gembira dan lebih tepat. 

Tuan Hir Effendy Md Tahir adalah penulis tamu Blog Sekolah Idea. Beliau merupakan Pengurus Projek di dalam Tim 'Bisnes Model kepada Pelan Pemasaran'. Beliau menulis sebuah e-book bertajuk 'Pengurusan Projek Kecil'.


*Jika tuan atau cik puan berminat mendapatkan e-book ini, dipersilakan meninggalkan nama, e-mel dan no. telefon di komen.




Idea Berbisnes Daripada Rumah



Bina satu laman web berdasarkan segmen pembaca yang boleh dikumpulkan seperti segmen hobi, kegemaran, pekerjaan dan sebagainya. Tarik pengunjung dengan artikel-artikel yang menarik dan jual laman web tersebut jika sudah ramai pengunjung setia.

IdeaBisnes: Birthday Video Kreatif

Kumpulkan gambar seseorang yang akan menyambut hari jadi dan gabungkan dalam bentuk video yang mempunyai gambar dan lagu. Boleh dijual dalam bentuk VCD, atau ditayangkan dalam bentuk tayangan di majlis hari jadi pelanggan anda.

IdeaBisnes: Buku Menu Kreatif

Reka buku menu yang kreatif untuk restoren-restoren yang anda boleh dekati. Pemilik restoren mampu membayar mahal kepada buku menu yang kreatif dan mampu menambat selera pelanggan mereka.

IdeaBisnes: Perabot Terpakai

Ambil upah membaiki perabut rumah yang sudah rosak yang masih boleh dibaiki. Anda perlu kreatif untuk membaiki kerosakan tersebut dan mempunyai kemahiran bertukang yang baik. Pelanggan akan gembira dengan hasil anda.

IdeaBisnes: Barang Kemas Kreatif

Buat gelang atau rantai daripada manik yang murah dan kreatif. Jualkan murah dipasar-pasar atau ditempat-tempat tumpuan awam.

IdeaBisnes: Penulis Kisah Kejayaan

Pergi menemuduga tokoh-tokoh yang Berjaya dalam pelbagai bidang dan bentukkan tulisan biografi untuk mereka. Jualkan kepada mereka semula dengan harga beribu ringgit atau hantar kepada penerbit untuk mendapatkan royalty atas hasil jualan buku.

IdeaBisnes: Kaktus Kreatif

Tanamkan kaktus dalam pasu kecil dan bungkuskan dalam kotak yang kreatif. Kaktus yang kecil dan cantik sesuai dijadikan cenderahati perkahwinan dan persidangan besar.

IdeaBisnes: Kraftangan Kreatif

Gunakan pelbagai bahan untuk menghasilkan kraftangan yang cantik dan berseni. Jualkan kepada orang ramai di tempat-tempat awam atau di depan rumah kita. Letakkan papan tanda mengatakan, “ada kraftangan terjual disini”.



Ahmad Fahmi Bin Latif merupakan lepas graduan 2012 daripada Universiti Malaya. Anak muda yang berwawasan untuk memiliki perniagaan sendiri ini, sekarang bertindak sebagai Content Marketer dalam Tim Sekolah Idea




--------------------------------------------------------- IKLAN -----------------------------------------------------------

Berminat bagi menempah e-Book 1 2 3 Idea-Idea Bisnes Modal bawah RM10 klik di sini.

Wednesday 10 October 2012

Idea Hantaran Kahwin


Inginkan kelainan dalam senarai barang hantaran kahwin? Cubalah polisi takaful (Islamic insurance) sebagai salah satu barang hantaran (cetak sijil polisi takaful dan bingkaikan semasa menjadikan ia sebagai item hantaran, lagi cantik jika disertakan dengan riben). Ia dapat membantu meringankan beban suami/isteri kelak dikala kesusahan/bencana seperti kematian dan kecacatan kekal (lumpuh dsbnya).

Peserta takaful juga boleh menggunakannya untuk mendapatkan kemudahan kesihatan di hospital swasta. Jika tiada apa-apa yang berlaku sepanjang tempoh penyertaan dalam polisi takaful tersebut.

Sebagai contoh, peserta yang menyertai pelan takaful dengan mengambil polisi 20 tahun, peserta boleh mendapat jumlah yang telah dibayar sebelum ini  sedikit pulangan dari pelaburan dalam skim takaful (inshaAllah) untuk membuat modal memulakan bisnes di masa akan datang.

Polisi-polisi takaful boleh disertai dengan jumlah kurang dari RM100 sebulan. Lebih penting lagi, takaful diasaskan atas prinsip ta'awun (tolong menolong antara satu sama lain). InshaAllah, anda akan mendapat ganjaran dari Allah kerana membantu orang lain yang dalam kesusahan.


Zusuff Kan Zainal Kan merupakan seorang profesional dalam bidang kewangan Islam. Beliau adalah usahawan dalam bidang informasi atau infopreneur.



Tuesday 9 October 2012

Idea-Idea Aktiviti untuk Mentor-Mantee


1. Setiap seorang mengajar satu skil/kemahiran yang diketahui; seni jahitan, fotografi, bertukang, membaca al-Qur'an dengan betul, bermain alat muzik, belajar bahasa arab asas.

2. Memberi pertolongan kepada mantee untuk membuat sesuatu yang istimewa. Kraftangan dibuat khas, lukisan alam, pertukangan yang unik.

3. Keluar membeli-belah bersama. Membeli belah buku atau alat berkaitan pendidikan.

4. Berkebun bersama menanam sayur-sayuran atau bunga.

5. Membantu mantee mencari pekerjaan tetap atau separuh masa di akhbar atau secara online.

6. Membawa mantee ke tempat makanan kaum yang lain (halal) bagi mempelajari keunikan dan budaya kaum lain.

7. Membasuh kereta bersama-sama bagi mengutip dana apa-apa kempen yang berkaitan.

8. Dapatkan kamera dan senarai sebanyak mungkin gambar yang mahu diambil bagi membuat buku skrap bagi memperkenalkan kawasan kediaman mereka yang mungkin menarik perhatian orang lain.

9. Menggunakan masa tertentu bagi membaca bersama-sama biografi orang yang berjaya sebagai sumber inspirasi.

10. Bagi menambahkan penguasaan bahasa, permainan Sahibba atau Scrabble amat bagus bagi mempeljari perkataan-perkataan baru.

11. Berkongsi filem atau gambar lama berkaitan keluarga.

12. Mengambil bahagian dalam aktiviti yang boleh disertai bersama seperti pertandingan marathon, mencari harta karun dan iron man.

13. Belajar resipi baru bersama-sama di dapur.

14. Bersenam bersama.

15. Makan malam bersama orang-orang yang menjadi sumberi inspirasi bersamaa mentor-mantee.

Idea-Idea Aktiviti Dakwah

1. Mendedahkan mantee kepada teknologi baru yang memudahkan urusan dakwah. Menggunakan medium seperti Facebook, Twitter, Blog, YouTube dan banyak lagi dalam menyampaikan syiar Islam.

2. Mengkaji bahan-bahan yang boleh disesuaikan menjadi bahan kempen dakwah
.
3. Memberi mantee pengalaman berdakwah dengan mengikuti sesi-sesi dakwah yang dianjurkan oleh mentor.

4. Belajar bahasa asing bersama agar dapat menjadi teman mempraktiskan bahasa itu yang sudah tentu amat berguna dalam perlaksanaan dakwah.

5. Mengadakan ziarah berjumpa teman-teman revert dan berkongsi bagaimana pengalaman mengucap syahadah.

6. Mengadakan ziarah ke rumah ibadah lain bagi memahami agama lain dan memahami sudut pandang mereka tentang agama islam.

7. Menonton video perbandingan agama Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik dan pendakwahpendakwah lain bagi meningkatkan ilmu bagi persediaan dakwah.

8. Memberi pendedahan kepada mantee pentingnya organisasi dalam pengurusan dakwah yang berkesan. Berikan mantee peluang menguruskan projek dakwah yang kecil agar dapat belajar bagaimana menguruskan pasukan sekaligus mengasah skil kepimpinan.

9. Bagi isu-isu sensitif yang kita mahu dapatkan maklumbalas daripada bukan Islam. Buat satu kajian lapangan dengan menemubual teman-teman yang rapat.

10. Buat satu perjumpaan bersama tokoh-tokoh dakwah dan bincangkan dapatan yang didapati daripada survey yang dijalankan.

11. Buat satu website yang menerangkan tentang Islam khas untuk rakan-rakan bukan Islam.

12. Edarkan belon yang mempunyai mesej tentang Islam. Contoh: I Luv Solat. Fokus dikawasan tumpuan pelancong dan orang ramai.

13. Buat kad nama yang mempunyai informasi tentang Islam. Cuba berkenalan dengan seramai mungkin kawan bukan Islam. Kita tidak perlu nampak beria-ria. Berkawan dengan ikhlas.

14. Buat satu surat jemputan majlis berkenalan dengan Islam. Jemput penceramah yamg berbangsa selain Melayu untuk memberikan presentation.

15. Beli 100 bungkus nasi lemak dan edarkan di kawasan gelandangan. Adalah lebih baik aktiviti ini dilakukan bersama pihak masjid yang aktif melakukan aktiviti kepada gelandangan. Contohnya: Masjid Jamek Bandaraya.

16. Sebarkan pamplet mengenai Islam di kawasan tumpuan pelancong. Selitkan bersama merchandise comel yang menarik perhatian dan memikat.

17. Teksi merupakan pengangkutan yang paling banyak berhubung dengan pelancong asing. Apa kata jika sebelum ini kita hanya memberi bahan berunsur pelancongan material, kali ini kita selitkan bahan berunsur kerohanian. Agar pelancong dapat merasai suasana yang baru. Dakwah yang halus adalah kesopanan dan kesantunan masyarakat muslim Malaysia.

18. Jika berkesempatan bertemu pelancong. Berikan senyuman paling manis dan mesra. Secara tidak langsung ia memberi mesej kita orang Muslim Malaysia suka berkawan dari mencari musuh.

19. Kadangkala kita mungkin kita akan berada di premis bukan Islam. Mungkin tanpa kita sedar waktu solat menghampiri hujung waktu. Tidak salah bertanya kepada pemilik kedai adakah terdapat ruang yang boleh digunakan untuk bersolat. Syiar kecil yang kita dapat lakukan. Mungkin satu hari jika ramai orang mahu solat di situ. Disediakan pula ruang bersolat. Sepertimana kita lihat sebelum ini hanya Petronas sahaja mempunyai surau. Tetapi kini sudah berbeza stesen minyak berkonsep baru yang mula mempunyai surau mula mengambil tempat.

20. Makanan sebagai alat dakwah. Zaman nabi telah bermula. Bagi menceritakan berkenaan Islam diadakan majlis jamuan. Apa kata buat satu majlis potluck yang mempunyai pelbagai makanan bangsa lain dan unik. Buat majlis menceritakan tentang Islam adalah agama yang universal. Ajak rakan yang bukan Islam dan ceritakan tentang makanan.

Monday 8 October 2012

Idea-Idea Bisnes Modal Bawah RM10 (Siri 2)

1) Perkhidmatan gunting rambut ke asrama-asrama sekolah.

    Rambut pelajar perlu digunting kemas sekurang-kurangnya sebulan sekali.
    Jadikan 5 buah sekolah di sekitar sebagai pelanggan untuk penuhkan pusingan sebulan.




2) Jual Belon

     Jual Belon Upin Ipin, Angry Bird atau Sponge Bob dengan berjalan kaki di sekitar tempat tumpuan orang ramai bersantai seperti tepi pantai, air terjun dan taman rekreasi. Kanak-kanak senang tertarik pada belon dan mahukannya, tanpa memikirkan murah atau mahal harganya.



3) Beli dah Jual Hamper.

     Beli barang-barang dari kedai RM2, bungkus jadi hamper hadiah yang ringkas dan menarik  kelahiran bayi, hari jadi ataupun hadiah perkahwinan, hadiah sukan, cederamata hari konvokesyen dan sebagainya.
 
     Di Malaysia ini, berbagai-bagai hari peringatan boleh ditargetkan seperti hari guru, hari jururawat, hari merdeka, hari ibu, hari bapa, Earth hour, hari cintai alam sekitar, hari tanpa rokok dan sebagainya.

     Sesuaikan isi hamper dengan tema hari sambutan tersebut.

       

4) Mengedar Pamplet, Brosur atau Katalog.

      Mengambil upah mengedar pamplet, brosur atau katalog syarikat-syarikat, bank, entiti perniagaan, persatuan, kelab dan sebagainya sekali gus kepada orang ramai di tempat-tempat  awam ataupun masukkan ke dalam peti-peti surat rumah.

        

5) Membungkus dan Menjual Habuk Kayu.

      Mangambil habuk kayu kilang kayu, saw mill ataupun bengkel tukang kayu, kemudian packing ke dalam kampit plastik dan jual kepada kedai-kedai barang safety.

      Habuk kayu ini adalah penyerap minyak yang bagus. Ia berguna semasa kerja-kerja penyelenggaraan mesin ataupun kejadian tumpahan minyak di kilang-kilang.

Sunday 7 October 2012

Idea-Idea Bisnes Modal Bawah RM10



1) Servis dobi jalanan.
Tawarkan perkhidmatan mengambil pakaian untuk dihantar ke dobi dan menghantar kembali kepada tuannya. Kebiasaanya, servis ini ditawarkan kepada orang yang sangat sibuk atau pekerja yang sedang bertungkus lumus menyiapkan kerja yang menghampiri dateline.

2) Brooch wanita
Wanita tidak terlepas dengan perhiasan. Salah satu yang menjadi kegilaan ialah brooch. Jadikan tapak pasar malam atau tapak online sebagai medium untuk memasarkan bisnes brooch anda.

3) Servis menukar bateri jam.
Tawarkan servis menukar bateri jam tangan di kampus-kampus. Tambahkan tawaran dengan servis membaiki jam. Bateri jam tangan boleh dibeli dengan harga RM10 – RM20 secara pukal.

4) Mengajar resepi di rumah.
Mengajar cara membuat kek atau kek cupcake kepada suri rumah secara home-tuition. Bincangkan harga perkhidmatan anda tersebut dengan tuan rumah dan anda boleh tawarkan diskaun jika mereka mendapatkan kawan-kawan yang berminat.

5) Buat duit dengan barang RM 2.
Pergi ke pasar yang menjual barangan RM 2. Jual balik dengan naikkan sedikit harganya di tempat lain. Boleh tambah idea lain di atas produk itu supaya kelihatan berpatutan dengan harganya.

6) Buat duit dengan baju hujan.
Baju hujan yang dibuat daripada plastik biasa boleh dijual di stadium sebelum bermula perlawanan bolasepak. Jual dengan harga yang murah. Berita baik ialah pelanggan akan berebut-rebut membeli jika hujan lebat walau ketika itu kita naikkan harganya.

7) Buat duit dengan stiker bolasepak.
Buat secara kecil-kecilan kemudian jual di tapak karnival bolasepak atau stadium. Peminat fanatik akan beli. Jika dibuat dengan kreatif dan comel dengan memaparkan gambar pemain, mungkin anaknya pula akan mendesak ayahnya untuk beli.

8) Buat duit dengan tayar/tiub getah terpakai.
Boleh dijual kepada kedai yang mengusahakan makanan berbakar. Boleh juga dijadikan pelampung renang. Hiaskan dengan kreatif dan dijual di tempat rekreasi.

9) Buat duit dengan jadi agen jualan.
Cari mana-mana kedai online atau offline yang menawarkan jadi agen jualan. Fahami prosedurnya dan buat pendaftaran. Kemudian terus bertindak.

10) Nota kuliah fotostat
Ramai pelajar yang malas mencatit nota, tulisan buruk, kurang kreatif dalam membuat nota (cth peta minda dsbgnya). Kenal pasti rakan sekuliah yang mempunyai nota yang kemas dan menarik, buat salinan dan jual pada rakan-rakan yang lain. Setidak-tidaknya, ambil upah untuk pergi ke kedai fotostat.

11) Perkhidmatan mencuci kenderaan
Sukar untuk mereka yang tinggal di pangsapuri/flat di Lembah kelang untuk membersihkan kenderaan. Anda boleh menawarkan pakej mencuci bulanan untuk kereta dan motosikal.
Pakej anda umpamanya menawarkan untuk mencuci kereta (bahagian luar) 4 kali sebulan pada harga RM20. Modal anda hanya baldi, span mencuci dan sabun mencuci.

12) Buku latihan
Banyak pelajar atau peserta kursus yang lupa untuk membawa buku nota/latihan untuk mencatit nota-nota penting.
Dengan membeli buku latihan secara pukal anda boleh menjual buku tersebut secara individu pada harga yang lebih tinggi.

13) Makanan segera
cth. Maggi, minuman 3 dalam 1. Pelajar di universiti suka berjaga malam. Beli sebungkus maggi atau minuman 3 in 1 dan jual pada mereka

14) Penghantaran makanan ke bilik
Sediakan perkhidmatan menghantar makanan pada waktu malam pada pelajar-pelajar yang tiada kenderaan.
Berpakatlah dengan peniaga kecil seperti penjual burger untuk pastikan rancangan anda berjaya.

15) Upah cuci kereta dari rumah ke rumah
Pemilik kereta pasti suka kereta kesayangan berkilat. Untuk beratur panjang di kedai membasuh kereta, bukan satu langkah yang menyeronokkan.
Apa kata, anda menawarkan khidmat dari rumah ke rumah. Bawa sahaja syampu kereta, berus, span dan kain sepanjang anda berjalan-jalan. Pilih kawasan perumahan atau rumah orang kaya-kaya sebagai tempat untuk berbisnes.

16) Jual buku aktiviti kanak-kanak
Kanak-kanak suka buku mewarna atau aktiviti. Cari ikon kanak-kanak sukai, contohnya Upin dan Ipin, Wonderpets dan pelbagai lagi untuk menarik mereka membeli buku anda. Mana tahu buku anda laris macam pisang goreng panas?

17) Stiker/pelekat kereta berlogo
Bagi lelaki terutamanya, memenuhi kereta dengan pelekat-pelekat atau logo-logo adalah menjadi kesukaan. Tidak keterlaluan dikatakan, ada yang bangga mempunyai pelekat yang pelbagai di kereta.

18) Jual air mineral
Beli air mineral sekotak besar. Kalau yang bersaiz 150ml, ada 24 botol. Bayangkan dengan RM10.00, anda menjual kesemua 24 botol dengan harga RM1.00. Bukankah anda mendapat untung RM23.00?

Monday 1 October 2012

Sekolah Idea Bermula!



 

Tim kami dinamakan 'Sekolah Idea'.

Tim kami menghimpunkan pengamal undang-undang, event manager, eduCoach, infopreneur dan coach Model Bisnes.

Kami bercita-cita memandaikan bangsa melalui memberi pendedahan kepada massa idea-idea bermanfaat di Malaysia dalam Bahasa Melayu.

Borang Tempahan