Monday 15 October 2012

1 2 3 Idea Menangani Stress




Baca Al-Quran

Ketenangan dapat dirasai semasa membaca Al-Quran, walau tanpa memahami maksudnya. Rasa tenang akan bertambah-tambah jika kita faham erti ayatnya. Waktu sepertiga malam ialah waktu terbaik untuk merasai kesannya.   

Berzikir

Paling mudah dilakukan. Ketika serabut, terus berzikir dengan menyebut nama Allah. Zikir di dalam hati pun boleh.

Ambil wudhu’

Ini kaedah yang sangat efektif ketika kita sedang dalam kemarahan. Ia umpama pemadam ‘api’ dalam tubuh. Kita akan rasa lebih stabil dan kembali fokus.

 Baca buku motivasi

Dapatkan buku yang mengandungi cerita-cerita orang yang berpengalaman di dalam menempuhi ujian. Ianya akan mematangkan kita. Selain itu ia mampu meredakan stress yang dihadapi.

      Dengar muzik/lagu yang menenangkan

Pilih muzik/lagu yang sentimental dan mendamaikan. Ia boleh digunakan untuk melegakan perasaan yang berkecamuk.  

      Lihat pemandangan alam semulajadi

Kunjungi tempat rekreasi seperti di pantai dan air terjun. Nikmatilah pemandangan hijau nan indah di sana. Lagi seronok jika ditambah dengan bermandi-manda.
     
      Hadiri majlis ilmu

Duduk bersama alim ulama’ dan orang yang soleh. Dapatkan nasihat dan kata-kata hikmah dari mereka. Ianya boleh melembutkan hati kita yang mungkin tengah keras kerana stress.

Berdoa

Mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada tuhan kita. Kita terus mohon bantuan kepada Dia selaku pencipta masalah tersebut. Dan memangnya setiap masalah ada hikmah dan penyelesaiannya.

 Pergi melancong
Pergi makan angin dan bercuti di destinasi pilihan kita. Bawalah pasangan atau keluarga kita jika perlu. Bergembirlah dengan mereka semua.

Lihat wajah ibu bapa

Ibu bapa ialah inspirasi anak-anak. Melihat wajah mereka akan memberi kesan kepada jiwa. Apatah lagi jika ibu bapa yang sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak mereka.

Lihat wajah ulama’

Putih bersih wajah ulama’ akan mendamaikan hati sesiapa yang melihatnya. Ini kerana ulama’ ialah orang yang dekat dengan Allah. Juga digelar pewaris nabi.

Bermain dengan kanak-kanak

Hati boleh terhibur jika melihat telatah kanak-kanak yang comel. Apa lagi jika dapat bergurau senda dengan mereka. Tidak perlu malu dikata orang anda kebudak-budakan, asal sahaja stress anda hilang.

Dapatkan sahabat yang sudi menjadi pendengar

Masalah akan semakin parah bila dipendam. Carilah orang yang sudi menjadi pendengar masalah kita. Walau dia tidak dapat tolong selesaikan pun, sekurang-kurangnya tekanan dalam diri kita telah berkurangan apabila masalah dapat diluahkan.

Ke masjid

Masjid ialah rumah Allah. Memasukinya sahaja telah mengundang rahmat dan doa para malaikat. Apalagi bila kita dapat berinteraksi dengan orang-orang yang baik di sana.

Solat

Ia amalan para ulama’. Biasanya mereka akan melakukannya ketika sedang berdepan tekanan hidup atau sebarang masalah. Jangan lupa bahawa solat juga ialah satu bentuk doa kita kepada Pencipta.

Rehat/tidur

Jika kita rasa stress kerana kepenatan yang amat sewaktu bekerja, dicadangkan kita ambil masa sekejap untuk keluar rehat. Tidak salah jika kita tidur sebentar. Ia boleh mengembalikan tenaga kita selepas lesu bekerja.

Bermain dengan binatang peliharaan

Kucing, arnab atau haiwan yang jinak sangat baik untuk dijadikan terapi stress. Dengan bermain-main bersama haiwan-haiwan ini, kita boleh melupakan masalah yang membelenggu. 

Bersukan

Bersukan atau bersenam akan mengeluarkan peluh. Bila kita berpeluh, badan akan sihat. Bila badan sihat, kita akan lebih bertenaga untuk menghadapi sebarang cabaran dalam kehidupan.

Ingat ada orang yang lebih susah dari kita

Cara ini akan membuatkan kita rasa bersyukur terhadap apa yang ada. Lalu ia akan mengajak kita mula kembali fokus kepada penyelesaian masalah. Bukan semata-mata fikirkan masalah.

Menonton video kegemaran

Ini salah satu taktik untuk kita lupakan masalah. Ia akan meredakan sementara stress kita. Video yang berkaitan motivasi diri dan ada kaitan dengan ketuhanan adalah dicadangkan.

Cari punca masalah dan selesaikan

Bila stress terhadap sesuatu masalah, kita terus fokuskan puncanya di mana. Kemudian terus selesaikannya. Jangan berlama-lama memikirkan cabang-cabang masalah dan lupakan dari terus menyalahkan orang lain.

Dapatkan nasihat/kaunseling

Jika stress kita tahap kritikal, segeralah berjumpa dengan pakar yang tahu mengendalikannya. Contohnya kaunselor atau pakar kaunseling. Dapatkan tips dari mereka bagaimana mengurangkan stress.

Sertai/kendali program amal

Dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti amal seumpama ini, ia boleh menguatkan ketabahan dan kesabaran kita. Tambahan pula jika kita dapat melihat sendiri orang-orang yang susah. Kita juga dapat menguatkan keyakinan dan soft-skill dalam menguruskan kehidupan melalui menyertainya sebagai AJK dan sebagainya.

Membuat senaman pernafasan

Menarik nafas dalam-dalam sebanyak 3 kali boleh mengurangkan debaran. Ia juga boleh mengembalikan fokus kita seterusnya mencari idea bagi mengatasi masalah tersebut.

Senyum

Senyum itu tanda ketabahan. Ia permulaan yang baik ketika kita berhadapan tekanan. Menunjukkan kita seorang yang positif di dalam menanganinya.

Nik Kamal ialah seorang trainer pembangunan sumber manusia khususnya untuk pelajar sekolah dan IPT. Beliau berkhidmat dalam konsultannya iaitu Itqan Partners Training & Consultancy. Juga merupakan kolumnis majalah Gen-Q yang aktif di blognya www.quranicgroup.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Borang Tempahan